~ SeMuanya unTuk anDa ~

Tuesday, September 29, 2009

Wahai ibu bapa....bhg 2


Ibubapa mesti mengambil berat tentang soal pemakanan anak-anak. Bukan diperhatikan tentang khasiat vitamin makanan itu saja tetapi pastikan kehalalannya. Adakah ia dari sumber yang halal atau haram. Ini penting kerana mengikut Nabi 'daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka neraka lebih utama untuknya'. Sekarang ini perkara seperti ini jarang diberikan penekanan tambahan pula amalan ekonomi yang berasaskan perbankan non-Islamik. Bagaimana diharapkan amalan soleh jika pemakanan tidak lagi soleh. Makanan yang baik membuahkan amalan baik (soleh), manakalan makanan yang tidak baik menghasilkan amalan yang tidak baik juga (tholeh).

Satu kisah pada zaman Nabi, seorang sahabat yang berjemaah bersama nabi kerap keluar dari jemaah awal sebelum sempat berdoa. Nabi bertanyakan kenapa balik tergesa sebelum berdoa. Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk syurga.

Begitulah orang dahulu mengambil berat soal pemakanan anaknya. Sebaliknya kita bagaimana? Adakah kita bertanya dari mana buah jambu itu diambil? Didikan seterusnya yang mesti dilakukan oleh ibu bapa ialah sembahyang. Nabi saw pernah bersabda:
"Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan
pisahkan dari tempat tidur."

Hadith ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang. Anak itu belum wajib kerana dia belum cukup umur (baligh). Jika bapa tak beratkan dia bersembahyang ketika ini, agak sukar kanak-kanak itu bersembahyang apabila baligh.


Budaya solat mesti dimulakan sejak 7 tahun lagi. Soal baligh ini pada pedapat sekarang berbeza. Ada berpendapat selepas bersara baru nak solat. Maksudnya bila pencen (55 tahun) baru masuk umur baligh. Paling sedih ada yang tidak baligh sampai ke mati sebab tak solat. Nabi Muhammad saw menyuruh (mewajibkan) kita pukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu sembahyang. Tetapi adakah kita pukul? Kita mungkin pukul kalau tak buat kerja sekolah atau tak lulus periksa. Jarang kedengaran pukul kerana tak mendirikan sembahyang. Manakan nak pukul anak tak bersembahyang sedangkan ibubapa sendiri tak bersembahyang. Takkan ketam nak ajar anaknya berjalan betul. Ibuabapa dewasa ini tidak bimbang anak-anak walaupun perempuan tak balik hingga larut malam tetapi yang dibimbangkan agaknya kalau anak-anak ayamnya belum pulang waktu senja.

Pendidikan juga bukan bermula apabila lahir anak. Bahkan semasa dalam kandungan ibu sudah mula proses tarbiyah. Sebab itu ibu-ibu mengandung perlu pastikan apa yang dia makan, apa yang dia buat dan apa yang dia baca. Sifat ibu akan diwarisi oleh anak. Kalau suka menyanyi atau menonton TV, anak yang lahir kelak akan menurut apa acuan yang dibentuk. Ramaikah ibu-ibu membaca Al-Quran semasa mengandungkan anaknya? Sedih melihat wanita masa ini asyik keluar masuk kilang saja hatta hingga larut malam masih lagi di kilang. Haiwan pun tidur waktu malam, kita manusia masih bertungkul lumus di kilang. Ajaran siapa ini? Allah peruntukkan masa siang untuk cari rezeki, masa malam untuk rehat. Kita siang malam sama saja mencari rezeki. Orang alim dulu siang bekerja malam beribadat. Kita siang kerja malam kerja. Bila ibadat? ... Sorry, no time ...Bukan lelaki saja bahkan perempuan lebih ramai kerja shift malam. Manakan suami tak jadi liar? Habis semua disapu kadang-kadang anak sendiri jadi mangsa bila lihat isterinya tak ada. Nak salahkan siapa? Apabila terlalu pentingkan kebendaan duniawi beginilah akibatnya.

Kemanisan beribadat tidak akan tercapai bagi mereka yang mengejar keduniaan. Kalau 90% usaha dicurahkan untuk dunia berapa peratus agaknya untuk akhirat. Kalau 10% ada juga tapi bila dah teruk kerja badan dah letih sudah tentu 0% untuk ibadat. Al-Quran ada menjelaskan 'Kaum lelaki adalah penjaga kaum wanita." Sekarang nak jaga apa? Asyik kerja siang malam. Anak isteri masing-masing punya pasal. Kau nak buat apa terpulang.. asalkan mewah hidup. Perasaan kasih sayang sudah luput dari ibubapa. Ibubapa dewasa ini kebanyakannya sudah tidak menyayangi anak-anak lagi. Buktinya mereka tidak ambil pusing hal-hal keagamaan mereka. Ada yang sanggup membiarkan anak-anak terjun ke dalam api neraka. Anak kera pun kesihan melihat anaknya ditembak pemburu.

Pernah seorang sahabat Nabi hairan tercengang melihat Nabi mencium pipi cucunya lantas bertanya kenapa Nabi kenapa begitu. Dia bertanya kerana dia sendiri tidak pernah melayan anak atau cucu dengan mesra begitu. Nabi lantas menasihatkannya supaya mencurahkan kasihsayang kepada kanak-kanak. Dalam satu hadith lain, Nabi Muhammad bersabda "Memandang muka anak-anak dengan rasa syukur akan rahmat Allah itu sama seperti melihat muka nabinya." Begitu besar pahala ibubapa memuliakan anak-anak. Oleh itu kita hendaklah memelihara mereka dengan baik kerana menurut Nabi mengajar satu adab yang baik kepada
mereka adalah lebih baik daripada memberi sedekah satu cupak makanan setiap hari.
InsyaAllah ganjaran pahala yang banyak akan diberikan kepada ibubapa yang baik
terhadap keluarganya.


Oleh itu hendaklah kita sedar benar-benar bahawa kita akan menemui Allah (mati). Apatah lagi umur kita kian sehari kian bertambah. Apabila bertambah umur kita bererti bertambah hampir pula kita dengan alam barzakh (kubur) atau bertambah hampir kita akan menemui Allah. Kita semua akan kembali kepada Allah yang menjadikan kita. Allah akan bertanyakan apa amalan kita semasa di dunia ini. Apa yang kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Adakah harta benda yang kita cari selama ini, pagi petang, siang malam, bertungkus lumus macam lipas kudung, tak pernah renggang dengan telefon bimbit, melonggokkan harta, menambahkan saham hingga lupa pada saham akhirat dan lupa kepada Allah yang memberikan kita harta itu. Dapatkah harta yang banyak itu menebus dosa-dosa yang kita buat di dunia
ini? Atau adakah pangkat dan bintang yang berjela-jela dibawa untuk dipersembahkan kepada Allah? Dengan pangkat, kedudukan dan darjat terasa seolah-olah kita sudah jadi orang besar dan terasa bongkak dengan Allah. Dengan orang miskin dipandang hina. Dengan ulama dipandang leceh. Adakah pangkat dan darjat dapat menebus dosa yang dilakukan di dunia ini. Dapatkan ia menyelamatkan dari api neraka? Semua ini tidak laku di akhirat.

Memelihara anak dengan baik adalah ibadat tetapi bagaimana pula jika disebabkan terlalu sayangkan anak hingga tak sempat sembahyang Maghrib adakah ibadat juga? Adakah anak itu akan menolong semasa berhadapan dengan Allah kelak? Tidak. Yang menyelamatkan kita pada hari yang tidak bermanfaat harta dan anak pinak ialah jiwa yang suci lagi tenteram. Hati yang suci hanya kepunyaan orang beriman. Orang kafir, fasik dan munafik tidak tenteram hatinya. Orang beriman itu apa tandanya? Mereka yang beribadat ikhlas kerana Allah. Ikhlas mainkan peranan penting kerana menurut hadith "Semua manusia rugi kecuali orang berilmu. Semua orang berilmu rugi kecuali beramal. Semua orang beramal rugi kecuali yang ikhlas."

Oleh itu perlu mencari keikhlasan dalam ibadat. Caranya dengan menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid di samping kita berdoa kepada Allah supaya kita dilimpah dengan kurnia, taufiq dan hidayah Allah. Bukan mudah mendapat anugerah Allah. Untuk mendapatkan anugerah dan kurnia sultan pun terpaksa lobi-melobi betapa untuk kurniaan Allah.

1 comments:

ijad said...

menarik entry ni...

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails